Thursday, December 7, 2023
24.2 C
Brunei

    -

    Verstappen catat masa terpantas

    SUZUKA, 22 SEPT – Max Verstappen mencatat masa terpantas dalam latihan kedua di Grand Prix Jepun, hari ini ketika dia cuba meraih gelaran juara Formula Satu ketiganya berturut-turut.

    Verstappen dari Red Bull, yang mengetuai rakan sepasukan dan saingan terdekatnya, Sergio Perez dengan 151 mata dalam kedudukan kejuaraan, adalah yang terakhir keluar di trek Suzuka dalam keadaan kering.

    Dia mencatat masa terpantas 1 minit 30.688 saat untuk mengungguli kedudukan, 0.320 saat lebih cepat daripada Charles Leclerc dari Ferrari di tempat kedua.

    Verstappen tidak dapat merangkul kejuaraan baru-baru ini tetapi keputusan yang baik boleh membantu dia untuk mengesahkan gelaran itu di Grand Prix Qatar bulan depan.

    Pelumba Belanda itu cuba untuk bangkit daripada penamat di tempat kelima yang mengecewakan di Singapura yang menamatkan rekod 10 kemenangan berturut-turut.

    Aksi Max Verstappen memandu keretanya semasa latihan kedua menjelang Grand Prix Formula Satu Jepun di Litar Suzuka, tengah Jepun pada 22 September. – AP

    Dia menyatakan hasratnya sejak awal hari, menamatkan latihan pertama terpantas di hadapan pemandu Ferrari, Carlos Sainz dan Lando Norris dari McLaren.

    Norris mencatat masa ketiga terpantas dengan 1 minit 31.152 saat.

    Pierre Gasly dari Alpine mengalami kemalangan dengan hanya beberapa minit sebelum sesi berakhir.

    Gasly tidak cedera tetapi sayap hadapan keretanya rosak teruk selepas melanggar penghadang.

    “Terkunci, maaf tentang itu,” katanya melalui radio pasukan.

    Sainz, yang memenangi perlumbaan minggu lalu di Singapura, menduduki tempat keempat diikuti oleh pemandu Mercedes, George Russell dan Fernando Alonso dari Aston Martin.

    Manakala Perez berada di tempat kesembilan, lebih daripada satu saat di belakang Verstappen. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    China jadi contoh dunia bagi hak asasi manusia

    BEIJING, 5 DIS – China kelmarin menganjurkan seminar sempena ulang tahun ke-75 Deklarasi Hak Asasi Manusia Dunia di Beijing yang disertai lebih 70 peserta...