MONZA, 4 OGOS – Max Verstappen mencatat namanya dalam buku sejarah Formula Satu kelmarin selepas memenangi perlumbaan ke-10 berturut-turut yang memecahkan rekod, muncul sebagai juara dalam Grand Prix Itali dengan satu lagi persembahan hebat daripada Red Bull.
Juara bertahan dunia itu mendominasi hari yang baik di utara Itali yang membuatkan peminat Ferrari kecewa, dengan rakan sepasukan Verstappen, Sergio Perez menduduki tempat kedua di hadapan pelumba harapan tempatan dan pemandu petak depan, Carlos Sainz.
Red Bull memuji pencapaian ‘mudah itu’ selepas satu kemuncak kedua cemerlang yang meningkatkan keunggulan Verstappen ke atas Perez di puncak kedudukan pemandu kepada 145 mata dan juga mengekalkan rekod pasukan yang sempurna dengan 14 kemenangan daripada 14 Grand Prix musim ini.
“Saya tidak pernah terfikir pada permulaan musim bahawa perkara seperti ini boleh berlaku.
“Sangat bangga, tetapi juga sangat gembira dengan perlumbaan secara keseluruhannya,” kata Verstappen kepada pemberita.
“Pada satu ketika, Carlos melakukan sedikit kesilapan pada selekoh kedua, yang memberi saya peluang untuk mengejar dan apabila saya mendahului, saya hanya perlu fokus pada rentak saya sendiri.”
Sainz dari Sepanyol menamatkan perlumbaan dengan lebih 11 saat di belakang Verstappen walaupun dia memberikan persembahan yang cemerlang dalam perlumbaan yang menarik.
Peminat tuan rumah dengan kuat melaungkan ‘Carlos, Carlos’ sebagai tanda penghargaan kepada pencapai-an penamat podium pertama Sainz tahun ini, tepat di hadapan rakan Ferrari, Charles Leclerc yang merupakan pemandu Scuderia terakhir yang menang di Monza pada 2019. – AFP
