Verstappen rampas kedudukan Hamilton

ZANDVOORT, BELANDA, 6 SEPT – Pemandu kegemaran tuan rumah, Max Verstappen merampas kejuaraan dunia dari Lewis Hamilton semalam ketika pemandu Red Bull itu mempamerkan persembahan yang memukau untuk memenangi Grand Prix Belanda pertama sejak tahun 1985.

Seminggu selepas menjuarai perlumbaan di Belgium, Verstappen sekali lagi berjaya mengawal perlumbaan sejak awal di bawah sinar matahari terik di litar lumba yang terletak di bukit pasir pantai di resort Zandvoort.

Kemenangan ketujuh dalam 13 perlumbaannya musim ini mengubah defisit tiga mata menjadi lebih tiga mata berbanding juara dunia tujuh kali, Hamilton menjelang perlumbaan Monza hujung minggu depan.

Hamilton menduduki tempat kedua, melakukakan pusingan terpantas di pusingan terakhir untuk memperoleh mata bonus, dengan rakan sepasukan dari Mercedes, Valtteri Bottas, berada di tangga ketiga.

“Seperti yang sudah anda dengar, ini sangat luar biasa,” kata Verstappen, yang disambut oleh 70,000 peminat berpakaian oren di tempat di mana pemenang terakhir, Niki Lauda untuk McLaren 36 tahun yang lalu.

“Harapan semakin tinggi hingga hujung minggu, saya sangat gembira dapat menang di sini. Ini adalah hari yang luar biasa, seluruh penonton, luar biasa.

“Ini pasti hari yang sangat baik. Permulaannya sangat penting, saya rasa kami melakukannya dengan baik,” tambah Verstappen.

“Sudah tentu, Mercedes berusaha menyukarkan kami tetapi kami mengatasi mereka sepanjang masa dengan sangat baik. Kami gembira dengan prestasi keseluruhan pasukan hari ini.”

Laluan sempit membuat perlumbaan sukar, mendorong Mercedes untuk menggunakan strategi yang berbeza untuk Hamilton dan Bottas untuk cuba meningkatkan tekanan pada Verstappen. – AFP

Max Verstappen meraikan trofi kemenangannya sambil disaksikan oleh Lewis Hamilton yang berada di tempat kedua bertepuk tangan di podium litar Zandvoort GP Belanda semalam. – AFP