IMOLA, ITALI, 19 APRIL – Max Verstappen kekal tenang untuk meraih kemenangan dalam perlumbaan ketika hujan di Grand Prix Emilia Romagna semalam ketika juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton bangkit daripada kesilapan untuk menduduki tempat kedua.
Pemandu Red Bull, Verstappen mengatasi pelumba petak utama, Hamilton pada selekoh pertama di Imola seterusnya menang perlumbaan pertama musim ini.
“Saya sendiri terkejut. Kami bekerja keras untuk menjadikan ia lebih baik. Dalam keadaan cuaca seperti ini kami melakukan tugas dengan hebat,” kata pemandu Belanda itu.
Lando Norris bersama McLaren meraih tempat ketiga di depan Charles Leclerc dari Ferrari di laman sendiri gergasi F1 berdekatan ibu pejabat mereka di Marrenello.
Keputusan ini mengesahkan Verstappen sebagai penghalang utama buat Hamilton mencari mahkota kelapan dalam kategori pemandu musim ini.
Selepas menang musim pembukaan di Bahrain dan mencatat masa sepusingan terpantas semalam, Hamilton mendahului Verstappen dengan 44 mata berbanding 43 menjelang Grand Prix Portugal.
Drama dalam perlumbaan itu sendiri muncul ketika hujan membasahi Autodromo Enzo e Dino Ferrari mencetuskan kekacauan.
Mekanik Aston Martin harus berebut untuk memadamkan api di brek belakang kereta Lance Stroll, rakan mereka di Mercedes bekerja untuk memperbaiki kereta Valtteri Bottas, ketika pemandu Alpine, Fernando Alonso bekas juara dua kali itu melanggar dinding.
Pemandu kemudian berdiri di bawah payung semasa persembahan lagu kebangsaan Itali yang penuh semangat. – AFP































