Veteran PDII berusia 99 tahun sembuh daripada COVID-19

BRASILIA, 15 APRIL – Seorang veteran Perang Dunia Kedua (PDII) berusia 99 tahun di Brazil dibenarkan keluar hospital dengan penghormatan tentera semalam selepas sembuh daripada koronavirus.

Leftenan Kedua Emando Piveta, yang berkhidmat dalam artileri Brazil di Afrika semasa Perang Dunia Kedua, dibawa keluar Hospital Angkatan Bersenjata Brasilia diiringi muzik trompet dan sorakan orang ramai.

Memakai kep tentera, beliau mengangkat tangan ketika keluar dari hospital selepas menjadi pesakit selama lapan hari. “Ia perjuangan besar bagi saya, lebih besar daripada dalam peperangan. Dalam peperangan, anda membunuh dan hidup. Di sini, anda perlu berjuang untuk hidup, dan anda meninggalkan perjuangan ini sebagai seorang pemenang,” kata Piveta.

“Beliau menang satu lagi pertempuran, kali ini melawan koronavirus,” kata tentera dalam satu kenyataan, menambah Piveta keluar hospital pada ulang tahun ke-75 kejayaan kempen Brazil di Montese, Itali. – AP