SIBU, 24 FEB – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak diminta untuk menangani masalah bau busuk, yang timbul susulan operasi memusnah dan menanam babi yang dijangkiti Demam Babi Afrika (ASF), di sebuah ladang Jalan Oya minggu lepas.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Seri Tiong King Sing berkata berdasarkan aduan yang diterimanya, penduduk di sekitar ladang itu mendakwa tiada tindakan susulan dibuat pihak berkaitan, selepas pencemaran bau itu dilaporkan dan ini menjejaskan kehidupan seharian mereka.
“Sepatutnya urusan menanam bangkai babi oleh pihak veterinar berjalan dengan baik, kerana mereka mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut tetapi bagaimana isu pencemaran bau ini boleh berlaku?” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. – Bernama