Vettel tinggalkan Ferrari akhir musim

PARIS, 12 MEI – Juara dunia Formula Satu (F1) empat kali Sebastian Vettel berkata hari ini beliau akan meninggalkan Ferrari pada akhir musim, berkata tidak adanya ‘hasrat umum’ untuk bekerjasama lagi.

Belum ada pengganti yang dinamakan untuk pelumba Jerman itu, yang menguasai F1 bersama pasukan Red Bull sebelum berpindah ke pasukan Itali pada 2015. Beliau berkata pemergiannya merupakan satu ‘keputusan yang dicapai bersama.’

“Hubungan saya dengan Scuderia Ferrari akan berakhir pada hujung 2020,” kata pemandu berusia 32 tahun dalam satu kenyataan dari Ferrari.

“Demi memperoleh keputusan terbaik mungkin dalam sukan ini, adalah penting untuk semua pihak bekerjasama secara harmoni.

“Pasukan dan saya menyedari tidak adanya lagi hasrat untuk kekal bersama selepas akhir musim ini.”

Gambar fail menunjukkan Sebastian Vettel melambai selepas memenangi tempat ketiga semasa sesi kelayakan Grand Prix Mexico F1 di litar Hermanos Rodriguez di bandar Mexico. – AFP

Vettel, yang berjaya memenangi 14 perlumbaan dengan Ferrari dan 53 kemenangan keseluruhan sepanjang kerjayanya, berkata aspek kewangan tidak memainkan sebarang peranan dalam keputusannya. Beliau berkata beliau akan ‘memberi pertimbangan pada perkara yang benar-benar penting apabila ia membabitkan masa depan saya.”

Namun timbulnya laporan mengatakan Ferrari telah menawarkan pelanjutan kontrak setahun sahaja dengan gaji yang kurang. Pemergian Vettel akan mencetuskan spekulasi mengenai penggantinya, dengan juara bertahan dunia Lewis Hamilton menjadi antara pemandu yang dikaitkan sebelumnya dengan Ferrari. Bagaimanapun, pemandu Britain itu berkata dia akan kekal di Mercedes.

Ketua pasukan Mattia Binotto berkata pemergian Vettel merupakan ‘satu keputusan yang diambil bersama oleh kami dan Sebastian, keputusan yang kedua-dua pihak rasa adalah yang terbaik.’

“Ia bukan keputusan yang senang, memandangkan nilai Sebastian sebagai seorang pemandu dan sebagai individu,” tambah Binotto.

“Tidak adanya sebab khusus yang membawa kepada keputusan ini, selain daripada kepercayaan umum bahawa sudah tiba masanya untuk kami berpisah demi mencapai objektif kami masing-masing.”

Nama lain yang diramalkan akan mengambil alih daripada Vettel adalah pemandu McLaren Carlos Sainz dan Daniel Ricciardo dari Renault sementara Antonio Giovinazzi adalah pilihan popular untuk peminat pasukan Itali.

Vettel telah menerima tekanan daripada prestasi kukuh rakan sepasukan Ferrari Charles Leclerc pada musim 2019. Leclerc berkata: “Ia merupakan satu penghormatan untuk saya menjadi rakan sepasukan anda. Kami mempunyai masa-masa yang tegang di litar.”

“Sesetengah pengalaman adalah bagus dan sesetengahnya tidak berakhir sebagaimana yang kami ingini, namun rasa hormat sentiasa wujud, walaupun ia tidak dilihat begitu dari luar.

“Saya telah banyak mempelajari dari anda sebagai rakan sepasukan. Terima kasih atas segala-galanya Seb.”

Pandemik koronavirus telah menghapus permulaan musim F1 2020 dengan 10 perlumbaan sama ada dibatalkan atau ditunda. Ia berharap dapat memulakan musimnya dengan perlumbaan di Austria pada 5 dan 12 Julai. – AFP