Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Persatuan Bola Sepak Veteran (VFA) Brunei Darussalam akan mengadakan Program Klinik Bola Sepak Bandarku Ceria pada hari Ahad bersamaan 19 Mac 2017, hujung minggu ini nanti.
Program yang dibukakan secara percuma itu dikhususkan kepada kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun. Ia akan diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara, bermula pada jam 8 hingga 10 pagi dengan mendapat tunjuk ajar daripada bekas pemain kebangsaan dan barisan pemain VFA.
Ketika dihubungi, Setiausaha Agung VFA, Jabar Ithnin menegaskan program ini adalah salah satu sumbangan VFA kepada masyarakat di luar komuniti pemain-pemain veteran.
“VFA juga komited untuk mengambil kesempatan dan menyokong program kerajaan ‘Bandarku Ceria’ dan sekali gus berkongsi pengalaman bersama barisan tunas bangsa,” ujarnya.
Menurutnya lagi, para peserta akan didedahkan kepada asas dan teknik permainan yang akan melibatkan barisan bekas pemain kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Beliau turut menegaskan hasrat VFA adalah untuk terus aktif dalam kegiatan bola sepak di dalam dan luar negara, baik sebagai penganjur atau selaku peserta dalam mana-mana kejohanan bagi pemain veteran di negara ini.
Beliau turut menyeru ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka ikut serta, sambil berpeluang bertemu pemain legenda negara di program itu nanti.
Apabila ditanya mengenai harapan dan sasaran VFA daripada program itu, katanya: “Sasaran VFA adalah agar dapat memupuk minat seramai mungkin kanak-kanak dan seterusnya suatu hari nanti akan menjadi pemain kebangsaan.”