Vicha dedah perkahwinan kali kedua

Selepas hampir tiga tahun berahsia, pelawak Vicha mendedahkan dia sebenarnya telah berkahwin buat kali kedua dengan seorang lelaki yang difahamkan seorang warga Nigeria.

Menurut Vicha, 34, dia langsung tidak berniat untuk menyembunyikan perkahwinan tersebut, sebaliknya hanya mahu peminat memberi tumpuan kepada kerjaya seninya sahaja berbanding cerita peribadi.

Bagaimanapun, sempena kehadiran tahun baharu 2022, selebriti kelahiran Indonesia itu mengambil pendekatan untuk berkongsi berita tersebut bersamaa orang ramai, sekali gus bagi mengelakkan fitnah pada masa akan datang.

“Ramai yang tidak tahu saya sebenarnya sudah berkahwin kali kedua dan bukan lagi berstatus solo.

“Saya berkahwin sejak tiga tahun lalu dan kini hidup bahagia bersama suami dan seorang anak lelaki, Micheal Trevor Ayomide yang kini sudah berusia dua tahun.

Vicha mendedahkan dia sebenarnya telah berkahwin buat kali kedua dengan seorang lelaki yang difahamkan seorang warga Nigeria. – Agensi

“Sebelum ini saya tak kongsikan kepada umum kerana rasa tidak perlu bercerita tentang kehidupan peribadi.

“Bagaimanapun sampai satu masa saya fikir, sampai bila saya mahu berahsia kerana nanti orang akan tahu juga.

“Jadi saya putuskan untuk kongsi tentang perkara ini kepada semua yang masih terus menyokong kerjaya saya sehingga hari ini,” dedah Vicha menerusi satu perkongsian di saluran YouTube miliknya beberapa hari lalu.

Bercerita lanjut, Vicha berkata, dia mengenali suaminya sejak tahun 2015, sebelum lelaki yang dikenali sebagai Johnson itu memeluk Islam.

“Saya mengenali suami ketika menghadiri satu majlis yang dianjurkan seorang rakan. Sikapnya yang pendiam, matang dan bertanggungjawab membuatkan saya tertarik untuk berkawan, seterusnya menjalinkan hubungan serius dan berkahwin,” jelas Vicha.

Dalam pada itu, Vicha yang kini semakin sukses dengan perniagaan bakso yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu mengakui tidak akan berputus asa untuk membawa dua anaknya daripada perkahwinan terdahulu ke Malaysia dan membina kehidupan baharu mereka. – Agensi