Victoria lanjut perintah darurat

SYDNEY, 17 OGOS – Victoria di Australia melanjutkan perintah darurat bagi membendung penularan COVID-19, walaupun terdapat penurunan kadar jangkitan kes baharu, lapor agensi berita Xinhua.

Pegawai Victoria kelmarin berkata darurat akan dilanjutkan selama empat minggu lagi, membolehkan sekatan pergerakan tahap empat dan perintah berkurung waktu malam, di Melbourne dilaksanakan.

Pada Isnin, Victoria mencatatkan jumlah korban harian tertinggi dengan 25 kematian baharu. Bagaimanapun, jumlah jangkitan sebanyak 282 kes, menunjukkan trend penurunan.

Walaupun kes menunjukkan penurunan, menurut pegawai itu penting untuk tidak berpuas hati dan terus mengekang penularan virus terutamanya dengan membataskan pergerakan.

“Kita akan lawan virus ini – dan melanjutkan darurat bagi memastikan kita mempunyai semua peralatan diperlukan untuk bertempur,” kata Perdana Menteri Victoria, Daniel Andrews.

Darurat akan berlanjutan sehingga jam 11.59 malam waktu tempatan pada 13 September. Mereka yang tidak memakai penutup mulut dan hidung di khalayak ramai boleh didenda AU$200 (AS$43) dan yang melanggar perintah kuarantin akan didenda $20,000 (AS$14.3 ribu). – Bernama

Seorang anggota perubatan ketika menyapa seorang warga tempatan sebelum melakukan ujian pengambilan sampel secara pandu lalu di luar sebuah klinik di Australia. Victoria di Australia melanjutkan perintah darurat bagi membendung penularan COVID-19, walaupun terdapat penurunan kadar jangkitan kes baharu. – AFP