Victoria: wajib pakai mask

MELBOURNE, 19 JULAI – Bandar kedua terbesar di Australia akan menjadikan pemakaian penutup mulut dan hidung (mask) di tempat awam sebagai satu kemestian, umum pihak berkuasa hari ini, ketika Melbourne meningkatkan usahanya untuk mengawal penularan wabak koronavirus.

Negeri Victoria, termasuk Melbourne, yang kini mempunyai hampir 3,000 kes aktif COVID-19, selepas 363 lagi jangkitan dilaporkan hari ini meskipun sekatan pergerakan (lockdown) selama 10 hari.

Perdana Menteri Daniel Andrews berkata lebih lima juta penduduk di Melbourne dan di Mitchell Shire akan dikehendaki memakai mask atau penutup muka di kawasan awam bermula tengah malam Rabu hingga Khamis.

“Kebanyakan daripada kita tidak akan meninggalkan rumah tanpa membawa kunci, kita tidak akan meninggalkan rumah tanpa telefon bimbit.

“Maka anda tidak akan dapat meninggalkan rumah tanpa mask dan memakainya di mana saja tempat diperlukan bagi menghentikan penularan virus ini,” katanya kepada sidang media.

Seorang pejalan kaki melintasi tanda di bandar Melbourne pada 16 Julai. Bandar kedua terbesar Australia, Victoria mewajibkan pemakaian mask di tempat awam bermula 19 Julai. – AFP

Gagal untuk mematuhi peraturan baharu itu akan dikenakan denda AS$140 – walaupun Andrews mengatakan pertimbangan ‘budi bicara’ akan dikenakan bagi aktiviti seperti berlari atau mengunjungi bank.

Skarf dan bandana boleh diterima selagi ia menutup mulut dan hidung sehingga kerajaan boleh mendapatkan banyak bekalan mask, kata Andrews, menambah bahawa apa saja yang dipakai adalah ‘lebih baik daripada tidak menutup mulut dan hidung’ langsung.

Keputusan itu menjadikan Melbourne di tempat pertama di negara itu yang memberi mandat penggunaan penutupan mulut dan hidung.

Pemakaian mask bukan amalan di Australia dan tidak menjadi respons COVID-19 di negara itu sehingga sekarang.

Negeri dan wilayah lain di Australia telah menutup sempadan mereka kepada penduduk dari Victoria dalam usaha untuk menghentikan penularan, ketika kebanyakan rantau tidak melaporkan sebarang jangkitan tempatan baharu dalam masa berminggu-minggu.

Namun jangkitan telah tiba ke Sydney, di mana kes jangkitan tempatan telah memuncak beberapa hari kebelakangan selepas kluster baharu muncul daripada seorang warga Melbourne yang dijangkiti mengunjungi pub popular.

Australia telah melaporkan hampir 12,000 kes di seluruh negara dan 122 kematian dalam penduduknya sekitar 25 juta. – AFP