Vida mahu belanja mangsa penganiayaan sajian ikan

Topik mengenai hidangan ikan siakap yang dijual mahal di sebuah restoran di Pulau Langkawi, Kedah kerana harga mencecah lebih RM1,000 menjadi perbualan hangat warganet di laman sosial.

Bukan sahaja menarik perhatian pengguna media sosial, malah golongan selebriti turut terpanggil untuk berkongsi pandangan mengenai isu ini termasuklah usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida. Simpati dengan nasib seorang wanita yang mendakwa tertipu, Vida atau nama sebenar Hasmiza Othman, 50, menyatakan hasrat membayar semula harga hidangan ikan siakap kepada mangsa.

“Saya tak boleh dengar pasal ikan siakap, jangan buat lepas ini orang tak boleh makan ikan siakap! Saya tak nak ada orang teraniaya,” katanya.

Vida memaklumkan mengenai niatnya itu semasa siaran langsung di Instagram bersama seorang wanita yang mendakwa dirinya mangsa penipuan sebuah restoran di pulau peranginan itu.

Wanita dikenali sebagai Niena meluahkan rasa berang apabila mengetahui bil hidangan mencecah RM 1,738.70 semasa dia dan keluarga makan di sebuah restoran terapung pada 3 November lalu.

Mengucapkan terima kasih atas tawaran itu, Niena bagaimanapun menolak dan memberitahu niatnya berkongsi mengenai hal ini kerana enggan situasi sama berlaku kepada individu lain.

“Kepada semua peniaga, berniagalah dengan telus kerana Allah SWT. Janganlah aniaya pelanggan. Kes ini kami ketengahkan supaya tiada lagi yang akan dianiaya oleh peniaga tersebut. Kami tiada niat pun nak viralkan hal ini,” katanya.

Pada 4 November lalu, pihak wartawan telah melaporkan keluahan seorang pengguna Facebook yang terkejut apabila pesanannya dicaj sehingga RM1,196.80 untuk sajian seekor ikan siakap. Isu ini menjadi lebih hangat apabila Niena pula tampil mengakui menjadi mangsa penganiayaan yang sama apabila bil hidangan di sebuah kedai lain di pulau itu turut mencecah RM1,738.70. – Agensi

Vida menyatakan hasrat membayar semula harga hidangan ikan siakap kepada mangsa. – Agensi