Video tarian cegah wabakCOVID-19 Vietnam tular

HANOI – Video yang menampilkan lagu dalam Bahasa Vietnam yang sangat menarik dengan tarian tentang kepentingan mencuci tangan semasa krisis koronavirus semakin popular dengan lebih daripada 2 juta tontonan di aplikasi video TikTok.

Lagu yang diilhamkan dari lagu pop berjudul ‘Jealous’ atau ‘Ghen’ dalam Bahasa Vietnam yang dinyanyikan oleh Erik dan Min merupakan kempen Kementerian Kesihatan bagi video animasi dengan lirik memberitahu rakyatnya untuk ‘mencegah koronavirus.’

Tidak dijangkakan kerajaan Komunis berjaya mengeluarkan video dan menarik beratus-ratus ribu tontonan di YouTube dan juga ditayangkan pada pameran berita komedi HBO ‘Last Week Tonight.’

Di Vietnam, remaja-remaja di negara itu telah membuat video TikTok dengan tarian cara mencuci tangan dengan betul, memastikan menggosok antara jari-jari mereka dan kuku mereka seperti yang dicadangkan oleh profesional kesihatan.

Pekerja-pekerja pejabat juga turut sama membuat video seperti mereka bahkan orang yang berpakaian minoriti etnik Hmong juga ikut menari di hadapan air terjun.

Antara aksi tarian bagi mencegah COVID-19 yang kini tular di media sosial. – Agensi

“Kampung terpencil juga cuba menghalang dan melawan penularan wabak itu,” yang memaparkan pasangan Hmong dalam video.

Dipopularkan oleh penari dan pengamal terkenal internet Qang Dang, yang mempunyai hampir 300,000 pengikut di TikTok dan Instagram, beliau dan seorang penari melakukan video tarian di jalanan di tepi penjual-penjual makanan.

Video tersebut boleh disaksikan di aplikasi tersebut dengan tanda hashtag #ghencovychallenge yang dikeluarkan oleh kerajaan dan video asal Dang telah dilihat lebih daripada 1.1 juta kali.

Lagu ini memberikan panduan bagaimana mencegah jangkitan, seperti membasuh tangan dengan ‘menggosok, menggosok, menggosok secara menyeluruh’ dan mengehadkan pergi ke tempat yang sesak.

“Kami mahu lagu ini tular dan mengurangkan ketegangan kepada mereka yang berjuang mencegah wabak itu, termasuk pakar, doktor, pekerja perubatan dan berjuta-juta buruh yang berada di depan untuk melawan wabak ini setiap hari,” kata kementerian kesihatan.

“Vietnam bertekad untuk menangani wabak ini!”

Negara komunis itu mempunyai pemuda demografi yang berbakat dan berkembang pesat, dengan dua pertiga daripada 97 juta penduduknya di bawah umur 35 tahun.

Vietnam mempunyai 16 kes disahkan dijangkiti COVID-19, walaupun ia mengatakan bahawa semua pesakit telah pulih dan telah dibenarkan pulang.

Negara yang berkongsi sempadan dengan China, telah mengambil langkah besar dalam memerangi virus itu, termasuk meletakkan sebuah kampung kecil sejam dari bandar Hanoi dalam kuarantin selepas lima kes disahkan dijangkiti dari sana. – AFP