Video tentera AS selamatkan anak damit tular

WASHINGTON, 22 OGOS – Rakaman video yang menyayat hati menunjukkan tentera Amerika Syarikat (AS) mengangkat anak damit melepasi tembok kawat berduri di lapangan terbang Kabul menarik perhatian dunia di tengah kekacauan ribuan orang cuba melarikan diri dari Afghanistan.

Video yang menunjukkan anak damit itu diangkat oleh anggota tentera di tengah ribuan warga Afghanistan yang berasak-asak ingin memasuki lapangan terbang, disiarkan media sosial ketika hampir seminggu proses pemindahan keluar warga asing dan tempatan dari Afghanistan.

Hampir 6,000 tentera AS bersenjata menguasai lapangan terbang, sementara pejuang Taliban meronda di jalan luar lapangan terbang Kabul.

Jurucakap Pentagon, John Kirby berkata pihak tentera diberitahu bahawa anak damit yang tidak dikenali itu sakit dan diminta untuk dibantu.

“Ibu bapa anak damit itu meminta tentera menjaga anak mereka yang sakit. Jadi anak damit yang anda lihat diangkat dan dibawa oleh tentera ke sebuah hospital Norway di lapangan terbang. Mereka merawatnya dan mengembalikan anak damit berkenaan kepada ibu bapanya,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun tidak dapat dipastikan status keluarga anak damit berkenaan, sama ada mereka diterima untuk berhijrah di bawah program khas untuk orang Afghanistan yang bekerja untuk AS. – AFP