Video tular kenderaan berarak disiasat

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Satu rakaman video telah tular di media sosial memaparkan perarakan sejumlah kenderaan dipercayai bertujuan meraikan sambutan hari ulang pada 7 November lalu di kawasan Rancangan Perumahan Negara Panchor Mengkubau, Daerah Brunei dan Muara.

Berikutan dengan insiden video tular tersebut, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Balai Polis Muara telah membuka kertas penyiasatan bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap insiden berkenaan.

Di samping itu, pihak polis turut menafikan akan keterlibatan mahupun menerima sebarang permohonan bagi kebenaran mengadakan perarakan tersebut.

Orang ramai terus diperingatkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 9 Akta Ketenteraman Awam Penggal 148 bagi sesiapa yang membuat sebarang acara perarakan yang tidak ada kebenaran di kawasan awam dan juga larangan terhadap sebarang perkumpulan ramai di bawah Seksyen 20 Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi segala arahan kerajaan dalam sama-sama membendung penularan pandemik COVID-19.