Video wanita dipaksa jalani ujian swab tarik perhatian

HANOI, 29 SEPT – Rakaman video yang menunjukkan pegawai polis di selatan Vietnam mengiringi seorang wanita dengan tegas untuk dibawa menjalani ujian COVID-19 telah tular ketika pihak berkuasa menggesa siasatan ke atas kes tersebut hari ini, lapor media tempatan.

Video yang disiarkan dalam laman web akhbar Tuoi Tre milik kerajaan itu menunjukkan dua pegawai polis rusuhan mencengkam tangannya ke belakang di hadapan anaknya yang sedang menangis ketika mereka membawanya keluar dari sebuah apartmen di wilayah Binh Duong.

Menurut akhbar, pegawai itu memecahkan kunci apartmen wanita itu selepas dia enggan untuk menghadiri ujian koronavirus rutin di bangunan kondominiumnya kelmarin.

Wanita itu berkata dia sibuk dengan kelas yoga dalam taliannya dan enggan pergi menjalani ujian kerana pusat ujian mungkin penuh sesak, lapor akhbar itu.

Video itu menunjukkan wanita tersebut telah dibawa ke pusat itu di mana pegawai polis memegang tangannya ketika pegawai kesihatan mengambil sampel calitan.

Menurut akhbar itu lagi, pihak berkuasa wilayah telah mengarahkan siasatan ke atas individu yang terlibat dalam insiden tersebut. Di bawah undang-undang Vietnam, orang ramai yang menentang prosedur yang diperlukan untuk membendung penyakit berjangkit dan terus menularkan penyakit akan berdepan lima tahun penjara, namun polis tidak boleh memecah masuk ke rumah persendirian tanpa waran. – AP