Vietnam akan sahkan maklumat berkaitan lambakan keluli-H

HANOI, 26 OGOS – Kementerian Perindustrian dan Perdagangan (MoIT) Vietnam akan mengesahkan maklumat diberikan pihak-pihak berkaitan sebelum mengeluarkan rumusan mengenai penyiasatan terhadap langkah-langkah anti-lambakan besi keluli-H (H-Beam) yang diimport dari Malaysia.

Ia menetapkan untuk mengadakan rundingan dengan pihak-pihak terbabit bagi bertukar pandangan dan maklumat berkenaan isu tersebut, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Organisasi dan individu terlibat dengan produk yang sedang disiasat diminta untuk mendaftar sebagai pihak berkaitan dan menghantar maklumat diperlukan kepada kementerian itu bagi menjamin hak dan kepentingan mereka.

MoIT memutuskan untuk melancarkan satu penyiasatan anti-lambakan pada 24 Ogos ke atas sejumlah blok keluli-H yang berasal dari Malaysia.

Ini dimulakan berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh pengeluar keluli Vietnam pada November 2019, menyatakan keluli-H dari Malaysia dilambak di Vietnam, menyebabkan kerugian besar dalam industri domestik.

Lebih 17,000 tan metrik keluli-H diimport dalam tempoh penyiasatan dan hampir 65,000 tan metrik pada tahun sebelumnya. – Bernama