Vietnam arah 21,000 penduduk ambil ujian

HANOI, 30 JULAI – Lebih 21,000 penduduk di bandar Hanoi, Vietnam telah diarahkan untuk menjalani ujian koronavirus, kata pihak berkuasa hari ini ketika mereka bergelut untuk membendung wabak pertama di negara itu selepas tiga bulan bebas virus.

Pada hujung minggu, seorang lelaki di bandar pesisir Da Nang diuji positif COVID-19, jangkitan komuniti yang pertama di negara itu telah kesan sejak April.

Sejak itu, lebih 40 jangkitan baharu telah ditemui, menular dari destinasi pelancongan popular Da Nang ke wilayah jiran dan bandar-bandar jauh lainnya.

Kementerian Kesihatan telah menggesa semua yang mengunjungi bandar tepi pantai itu pada Julai untuk tampil. Di Hanoi, 600km dari utara Da Nang, pihak berkuasa telah mengesan dua kes baharu setakat ini.

Daerah-daerah Hanoi telah menerima 21,000 kit ujian bagi penduduk yang baru-baru ini pulang dari Da Nang, kata Timbalan Pengarah Kesihatan bandar itu, Khong Minh Tuan memberitahu akhbar Hanoi Moi – lidah rasmi pihak berkuasa tempatan.

“Orang ramai harus menghubungi pihak berkuasa kesihatan tempatan bagi ujian tersebut,” katanya, menambah bahawa para pegawai akan cuba untuk menyelesaikan ujian menjelang Sabtu.

Kelab-kelab di Hanoi telah ditutup sejak kelmarin, sementara pameran dan festival telah ditangguhkan.

Kebanyakan jangkitan baharu berkaitan dengan tiga hospital Da Nang, yang kini ditempatkan dalam sekatan pergerakan.

Penerbangan keluar dan masuk ke Da Nang dan pengangkutan awam dalam bandar telah dihentikan manakala majoriti 1.1 juta penduduk telah dinasihatkan untuk duduk di rumah. – AFP

Kakitangan kesihatan memakai sut pelindung menjalankan pemeriksaan di pusat ujian sementara bagi COVID-19 di Hanoi pada 30 Julai. – AFP