Vietnam bebaskan 3,000 banduan

HANOI, 31 OGOS – Vietnam hari ini mengumumkan pengampunan kepada lebih 3,000 banduan menjelang ulang tahun kemerdekaan negara itu.

Menurut Timbalan Menteri Keselamatan Awam, Le Quoc Hung, banduan yang dipenjarakan kerana rasuah, dadah dan kesalahan jenayah adalah antara mereka yang layak dibebaskan lebih awal termasuk 21 warga asing.

Dia bagaimanapun enggan menyatakan jumlah tahanan politik yang akan dibebaskan, sambil menegaskan tidak ada tahanan atas tuduhan politik di Vietnam.

Pemerhati Hak Asasi Manusia menyatakan lebih daripada 130 tahanan politik dipenjarakan di Vietnam sehingga Mei tahun ini dan negara itu mempunyai reputasi untuk menjatuhkan hukuman berat terhadap pengkritik dan pembangkang.

Dalam beberapa tahun kebelakangan, pentadbiran berusaha untuk menghapuskan perbezaan pendapat dan menangkap pengkritik kerajaan terutama mereka yang menyiarkan pendapat di media sosial.

Ia juga melarang semua media bebas dan berada pada kedudukan ke-175 daripada 180 negara dalam indeks kebebasan akhbar Reporters Without Borders pada 2020. Pejabat presiden berkata, ia adalah pengampunan pertama dalam empat tahun dan banduan akan dibebaskan mulai esok. – AFP