Vietnam catat 6,192 kes jangkitan baharu

HANOI, 3 NOV – Vietnam hari ini melaporkan sebanyak 6,192 kes baharu jangkitan COVID-19 termasuk 6,175 jangkitan tempatan manakala 17 lagi kes import, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.

Kebanyakan kes komuniti dikesan di selatan negara itu termasuk 985 di Bandar Ho Chi Minh, 905 di wilayah Dong Nai dan 773 di wilayah Binh Duong.

Wilayah tengah Ninh Thuan juga merekodkan 914 lagi jangkitan yang dikesan sebelumnya di kawasan itu.

Jangkitan baharu membawa jumlah keseluruhan negara itu kepada 939,463 dengan 22,283 kematian, menurut kementerian.

Di seluruh negara itu, seramai 833,675 pesakit COVID-19 sudah pulih setakat ini, meningkat 8,869 pada Selasa, sementara lebih 84 juta dos vaksin telah diberikan, menurut kementerian.

Vietnam melaporkan 934,583 jangkitan sejak lewat April. – Xinhua