Wednesday, November 13, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vietnam dan AS perkukuh kerjasama strategik

    HANOI, 25 SEPT – Pemimpin tertinggi Vietnam, To Lam akan bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden di New York hari ini selepas firma dari kedua-dua negara menandatangani perjanjian mengenai semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan penerbangan.

    Pertemuan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu diadakan setahun selepas kedua-dua negara mencapai perjanjian untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama dalam bekalan strategik di tengah-tengah persaingan yang semakin meningkat dari China.

    Washington mahu mempelbagaikan rantaian bekalan pembuatan daripada terlalu bergantung kepada pesaing strategik, China, dan menggalakkan Vietnam sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dalam usaha itu.

    Vietnam – yang lama dikenali sebagai sebuah destinasi kos rendah untuk membuat pakaian, kasut dan perabot – juga sedang mengintai peluang untuk naik dengan cepat dalam rantaian bekalan global, dan Lam telah mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua dari Apple, Meta dan firma IT, Supermicro di New York.

    Vietnam sangat berhasrat untuk membangunkan keupayaannya dalam industri cip yang menguntungkan, dengan kejutan rantaian bekalan global dan kebimbangan tentang kebergantungan AS kepada China untuk sumber utama meningkatkan pelaburan di negara Asia Tenggara itu.

    Rumah Putih kelmarin berkata pertemuan itu akan menjadi ‘peluang penting bagi kedua-dua pemimpin untuk membincangkan kepentingan bersama kita dalam kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara’.

    Semasa lawatan Lam, Supermicro telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Sovico Vietnam dalam bidang AI, semikonduktor dan pembinaan pusat data, kata kerajaan dalam satu kenyataan kelmarin.

    Syarikat penerbangan tambang rendah, Vietjet Air dan Honeywell Aerospace Technologies yang berpangkalan di AS turut menandatangani perjanjian kerjasama bernilai AS$1.1 bilion, menurut Vietjet, dan perjanjian kerjasama lain telah dipersetujui dalam sektor minyak dan gas. – AFP

    Tanda hashtag #UNGA dilihat di luar Dewan Perhimpunan Agung PBB di New York, pada 23 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda