HANOI, 5 FEB – Vietnam menubuhkan hospital sementara yang dimuatkan dengan ratusan katil bagi mengendalikan kemasukan berpotensi kes-kes koronavirus, kata para pegawai kesihatan, sebagai persediaan untuk menerima rakyatnya yang pulang dari China.
Vietnam berkongsi sempadan dengan China dan negara jiran komunis itu mempunyai hubungan perdagangan dan pelancongan yang rapat.
Setakat ini Vietnam mengesahkan 10 kes koronavirus – termasuk tiga orang dengan tiada sejarah perjalanan baru-baru ini ke China.
Virus itu diumumkan kecemasan darurat global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang sejauh ini telah membunuh hampir 500 orang dan menjangkiti lebih 24,000, kebanyakannya di tanah besar China.
Penyekatan perjalanan, tegahan penerbangan dan kuarantin telah dikenakan ketika negara itu meningkatkan usaha untuk mengawal patogen itu daripada merebak secara meluas.
Di hab bandar perniagaan Ho Chi Minh City, selatan Vietnam – tempat tiga kes koronavirus telah disahkan – dua kemudahan yang ada telah diubah menjadi hospital sementara dengan jumlah kapasiti sekitar 500 katil.
Mereka akan ‘menerima, memantau dan merawat’ semua pesakit yang disyaki dijangkiti koronavirus jika epidemik itu seterusnya merebak, menurut pengarah jabatan kesihatan bandar itu, Nguyen Tan Binh.
Di Hanoi, dua kemudahan tentera telah ditukarkan menjadi pusat kuarantin yang memuatkan 1,500 orang ketika negara itu bersiap sedia menerima 950 orang dari China untuk diasingkan di tapak itu.
Dua wilayah di utara Vietnam dekat sempadan China juga menempatkan katil bagi hampir 3,000 pesakit. Tengah Vietnam sudah memiliki pusat untuk menempatkan sekitar 3,700 orang.
Vietnam tidak mengumumkan rancangan untuk membawa balik rakyatnya dari China beramai-ramai, tapi 21 pelajar Vietnam di Wuhan – pusat epidemik – akan dibawa pulang dalam penerbangan khas, kata kerajaan.
Vietnam telah menyekat semua penerbangan ke dan dari tanah besar China dan menangguhkan visa pelancong baharu bagi rakyat Cina atau warga asing yang ke China dalam dua minggu lalu. Semua kereta api penumpang ke dan dari China juga telah ditangguhkan. – AFP




























