Vietnam gesa sekatan ditarik balik

HANOI, 14 OGOS – Vietnam menggesa sekatan ditarik balik dan mewujudkan syarat mudah untuk aktiviti bantuan kemanusiaan di bawah konteks pandemik COVID-19.

Gesaan itu disuarakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pham Binh Minh semasa perbahasan terbuka peringkat tinggi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pandemik dan cabaran untuk mengekalkan keamanan, pada Rabu, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh mengenai kesan mendalam COVID-19 pada semua aspek kehidupan yang mengancam kemajuan proses damai dan aktiviti kemanusiaan di kawasan dilanda konflik di seluruh dunia.

Minh menekankan perlunya penyelesaian komprehensif dan Vietnam mengalu-alukan penerimaan Resolusi 2532 oleh Majlis Keselamatan, mengenai tindak balas COVID-19 dan menyokong rayuan Setiausaha Agung PBB untuk gencatan senjata global.

Pada perbahasan itu peserta menyambut baik kelulusan Resolusi 2532 dan perjuangan melawan COVID-19 menjadi peluang untuk meningkatkan kolaborasi serta penyatuan antarabangsa di PBB. – Bernama