Vietnam hasilkan vaksin Sputnik V kali pertama

MOSCOW, 21 JULAI – Rusia hari ini mengumumkan bahawa satu kumpulan vaksin koronavirus Sputnik V telah dihasilkan di Vietnam buat kali pertama, bagi membendung penularan gelombang baharu jangkitan COVID-19.

Kumpulan vaksin yang diuji dihasilkan dengan kerjasama syarikat farmaseutikal milik kerajaan Vietnam, Vabiotech, Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF), yang membiayai Sputnik V, menurut kenyataan yang dikeluarkan. Sampel pertama dari kumpulan yang akan dihantar ke pembangunan vaksin – Pusat Gamaleya di Moscow – bagi kawalan kualiti, tambah RDIF.

RDIF dan Vabiotech secara aktif bekerjasama dalam proses pemindahan teknologi bagi memberikan akses lebih mudah kepada Sputnik V bagi penduduk Vietnam,” menurut Ketua Pegawai Eksekutif dana, Kirill Dimitriyev dalam kenyataannya. Presiden Vabiotech, Dat Tuan Do, mengalu-alukan pengumuman tersebut, berkata ‘Ia akan membantu memberikan vaksin yang berkualiti dan mampu milik’ kepada Vietnam dan negara-negara lain di rantau tersebut.

Vietnam kebelakangan ini berdepan dengan peningkatan jangkitan baharu dan pihak kerajaan terpaksa memerintahkan kira-kira satu pertiga penduduknya untuk terus berada di rumah bagi mengawal penularan wabak. Negara Asia Tenggara itu dilihat perlahan dalam membeli dan mengagihkan vaksin, dengan hanya 4.3 juta dos diberikan setakat awal minggu ini.

Rusia mendaftarkan Sputnik V pada Ogos lalu menjelang ujian klinikal besar-besaran, menyebabkan kebimbangan di kalangan pakar mengenai proses yang dipercepatkan.

Ia telah diisytiharkan selamat dengan kadar lebih 90 peratus keberkesanan dalam laporan yang diterbitkan oleh jurnal perubatan terkemuka, The Lancet, mengembalikan keyakinan terhadap suntikan dari Rusia itu. – AFP