Vietnam kenakan kuarantin 21 hari

HANOI, 5 MEI – Vietnam hari ini memutuskan melanjutkan tempoh kuarantin bagi sesiapa sahaja yang tiba di negara itu kepada tiga minggu, pihak berkuasa mengatakan, susulan satu jangkitan komuniti baharu koronavirus.

Negara itu setakat ini sudah mengekalkan jumlah kes yang kecil, merekodkan hanya lebih 3,000 kes dan 35 kematian – kerana langkah-langkah kuarantin yang ketat dan pengesanan kontak yang meluas.

Namun Vietnam melaporkan jangkitan komuniti pertamanya dalam beberapa minggu pada Khamis lalu dan kluster-kluster lain muncul sejak itu.

Beberapa kes juga dikaitkan dengan orang yang diuji positif selepas tamatnya dua minggu kuarantin di hotel.

“Kementerian Kesihatan memutuskan untuk melanjutkan tempoh wajib kuarantin bagi orang yang telah menjadi kontak rapat pesakit COVID-19 dan orang yang memasuki Vietnam,” kata menteri kesihatan Nguyen Thanh Long.

Tempoh kuarantin baharu ialah 21 hari.

Pengumuman dibuat selepas sebuah daripada hospital terbaik negara – yang merawat ramai pesakit COVID-19 – dikenakan perintah berkurung hari ini, setelah seorang doktor diuji positif virus tersebut.

Sementara 14 lagi yang lain di Hospital Kebangsaan bagi Penyakit Tropika di Hanoi kemudiannya didapati turut dijangkiti virus. Kira-kira 800 petugas kesihatan, pesakit dan sanak-saudara yang melawat pada masa perintah berkurung diumumkan akan kekal di dalam hospital selama dua minggu, kata pihak berkuasa.

Vietnam turut mengesan kes-kes dalam komuniti bagi varian COVID-19 dipercayai menjadi punca peningkatan mendadak di India. –AFP

Seorang lelaki memakai penutup mulut dan hidung di tengah-tengah kebimbangan mengenai koronavirus, menunggu di atas skuternya berhampiran papan iklan wajah mendiang pemimpin revolusi Vietnam, Ho Chi Minh di sepanjang jalan di Hanoi. – AFP