Vietnam lancar portal pelancongan pergigian

BANDARAYA HO CHI MINH, 9 Ogos – Vietnam Tourism Dentistry JSC hari ini telah melancarkan portal rasmi berhubung industri pelancongan pergigian di negara itu, https://dentaltourism.vn, dalam usaha menjadikan Vietnam sebagai destinasi pelancongan bagi perkhidmatan penjagaan gigi dunia, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Laman sesawang baharu itu akan menyediakan pelbagai perkhidmatan yang dibekalkan kepada pengguna termasuk implan gigi, venier porselin dan pemutihan gigi.

Ia turut mempunyai pautan dengan syarikat pelancongan bagi memperkenal perkhidmatan dan pakej yang sesuai dengan perjalanan pelancongan di Vietnam pada harga mesra bajet selain berkualiti tinggi.

Pelanggan yang menggunakan perkhidmatan di laman sesawang mungkin menerima perkhidmatan penyelenggaraan dan penjagaan di negara yang menjalin kerjasama dalam bidang pergigian dengan Vietnam, terutama Amerika Syarikat (AS) dan Australia.

‘’Laman sesawang itu akan mempertingkat hubungan antara klinik pergigian dan agensi pelancongan di seluruh negara, yang membantu menarik lebih ramai pelancong asing ke Vietnam,’’ kata Pengarah Hospital Odonto-Stomatologi Bandaraya Ho Chi Minh, Nguyen Duc Minh, pada majlis pelancaran portal itu di sini.

Pelancongan pergigian adalah sebahagian daripada pelancongan perubatan, yang melibatkan individu mencari perkhidmatan penjagaan gigi ketika melakukan perjalanan.

Hampir 100,000 pelancong asing berkunjung ke Vietnam setiap tahun bagi mendapatkan rawatan pergigian, yang menjana pendapatan kira-kira AS$150 juta dengan pelancong dari Australia, AS dan New Zealand mendahului senarai. – Bernama