Vietnam mahu lukisan diiktiraf UNESCO

HANOI, 28 Jun – Jawatankuasa Rakyat wilayah Bac Ninh berhasrat menghimpunkan satu dosir berkaitan kesenian tradisional Vietnam iaitu lukisan Dong Ho dalam usaha mendapatkan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Akhbar Vietnam News melaporkan bahawa warisan budaya tidak ketara itu memerlukan perlindungan segera dan perkara ini telah disahkan oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan.

Jabatan Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan wilayah telah ditugaskan untuk bekerjasama dengan organisasi berkaitan dalam menyediakan dosir itu sebelum diserah kepada Jawatankuasa Rakyat wilayah bagi mendapatkan kelulusan.

Usaha mendapatkan pengiktirafan UNESCO untuk lukisan Dong Ho dijangka mempunyai impak signifikan dalam memelihara dan mempromosi nilai-nilai tradisional Vietnam serta meningkatkan kesedaran masyarakat dalam melindungi nilai-nilai tersebut.

Lukisan Dong Ho berasal dari Kampung Dong Ho yang terletak dalam daerah Thuan Thanh di utara wilayah Bac Ninh.

Selama berabad-abad, lukisan itu digunakan sebagai hiasan berharga bagi meraikan pesta Tet (tahun baharu).

Orang ramai membeli lukisan Dong Ho untuk digantung pada dinding rumah mereka selama setahun, yang akan diganti dengan lukisan baharu pada tahun berikutnya.

Lukisan Dong Ho telah disenarai sebagai warisan budaya tidak ketara nasional oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan pada Disember 2012. – Bernama