Vietnam mahu M’sia siasat insiden tembakan

HANOI, VIETNAM, 18 OGOS – Vietnam hari ini menyuarakan kebimbangan atas tindakan anggota Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) melepaskan tembakan ke arah kapal nelayan Vietnam yang mengakibatkan kematian seorang nelayan dan menuntut Kuala Lumpur menyiasat kes itu.

APMM dalam kenyataan kelmarin mengatakan dua kapal nelayan Vietnam menceroboh perairan Malaysia lewat Ahad dan enggan berhenti apabila didekati kapal pengawal pantai.

Apabila kapal APMM melepaskan tembakan amaran, nelayan Vietnam melemparkan bom petrol dan cuba melanggar kapal tersebut, membuatkan penguat kuasa APMM tidak mempunyai pilihan kecuali melepaskan tembakan ke atas kapal itu dalam usaha mempertahankan diri, menurutnya dalam satu kenyataan dalam Facebook.

“Vietnam meminta Malaysia mengesah dan menyiasat kes itu, menegur pegawai yang menembak mati warga Vietnam dan melayan nelayan lain serta harta benda mereka secara berperikemanusiaan,” kata jurucakap kementerian luarnya, Le Thi Thu Hang dalam kenyataan lewat semalam. – AP