Tuesday, August 9, 2022
22.7 C
Brunei

Vietnam nekad hapuskan daging anjing, kucing

-

HANOI – Sebuah bandar pelancongan terkenal Vietnam telah berjanji untuk menghentikan penjualan daging kucing dan anjing secara berperingkat-peringkat, kata pegawai hari ini, yang pertama di negara di mana sesetengah menganggap haiwan itu sebagai makanan istimewa.

Dianggarkan lima juta ekor anjing dimakan setiap tahun di Vietnam – kedua tertinggi di dunia selepas China – dengan sesetengah orang percaya memakan daging haiwan itu boleh membantu menghapuskan nasib malang.

Pihak berkuasa di Hoi An, sebuah pelabuhan perdagangan bersejarah dan tapak Warisan Dunia, menandatangani perjanjian dengan kumpulan hak asasi haiwan antarabangsa Four Paws, berikrar untuk menghentikan penjualan dan penggunaan daging ku-cing dan anjing secara berperingkat.

“Kami ingin membantu mempromosikan kebajikan haiwan melalui pembasmian rabies, menghentikan perdagangan daging anjing dan kucing secara berperingkat dan menjadikan bandar itu destinasi utama untuk pelancongan,” kata naib datuk bandar, Nguyen The Hung.

Julie Sanders dari Four Paws International berkata ia adalah detik penting yang mungkin menjadi contoh untuk tempat lain di Vietnam.

Tinjauan nasional yang ditugaskan oleh kumpulan hak haiwan tahun ini mendapati dianggarkan 6.3 peratus daripada 600 orang Vietnam yang ditinjau memakan haiwan berkaki empat itu – dengan 88 peratus menyokong larangan.

Kebiasaan itu semakin berkurangan apabila pendapatan meningkat dan golongan mewah menjadikan haiwan itu sebagai haiwan peliharaan tetapi daging anjing masih tersedia di Hanoi dengan beberapa mengetepikan kebimbangan kebajikan haiwan.

“Saya tidak fikir sesiapa harus melarang makan daging anjing. Ia adalah budaya kita,” kata penduduk Hanoi Phan Van Cuong kepada AFP.

Pada 2018, pegawai Hanoi menggalakkan orang ramai untuk berhenti makan daging anjing kerana ia merosakkan reputasi ibu negara dan terdapat kebimbangan kesihatan yang boleh membawa kepada jangkitan rabies yang boleh membawa maut. – AFP

Pekerja restoran menunggu pelanggan di restoran daging anjing di Hanoi. – AFP
- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Ershun lahirkan panda kembar

CHONGQING, 8 OGOS – Seekor panda gergasi bernama Ershun telah melahirkan anak kembar 22 Julai lalu di sebuah zoo di barat daya China, Perbandaran...
- Advertisment -