Vietnam percepatkan kempen vaksinasi

HANOI, 13 SEPT – Vietnam sedang mempercepatkan kempen vaksinasi COVID-19nya dalam usaha melonggarkan sekatan koronavirus di bandar-bandar utama menjelang hujung bulan ini, menurut kerajaan hari ini.

Petugas kesihatan meneruskan suntikan vaksin sehingga ke malam hari di ibu negara, Hanoi yang diletakkan di bawah perintah berkurung sejak Julai.

Lebih daripada sejuta suntikan vaksin diberikan pada hujung minggu di Hanoi, dengan lebih 5.5 juta sudah pun diberikan sejak vaksinasi bermula dalam Mac, kata Kementerian Kesihatan.

“Kita perlu mempercepatkan program vaksinasi agar kita boleh merancang membuka semula bandar-bandar ditutup,” kata Datuk Bandar Chu Ngoc Anh kelmarin. Lebih separuh daripada 98 juta penduduk di negara itu kini di bawah perintah berkurung.

Kira-kira 80 peratus daripada 5.7 juta orang dewasa bandar itu sudah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin, dengan pihak berkuasa menyasarkan kira-kira 100 peratus menjelang hujung minggu ini.

Walau bagaimanapun, kadar vaksinasi keseluruhan negara itu masih kekal rendah pada kira-kira 28 peratus dan hanya 4 peratus sahaja menerima dua suntikan vaksin.

Vietnam berjaya mengekalkan kadar jangkitan agak rendah sehinggalah April tahun ini, dengan hanya 35 kematian. Tahun lalu ia dipuji kerana berjaya mengawal virus, satu kejayaan yang disifatkan atas disiplin satu parti negara komunis yang mengekalkan kawalan ketat di semua peringkat.

Namun kekurangan vaksin memaksa Vietnam memperlahankan program vaksinasinya dalam masa beberapa bulan kebelakangan meskipun varian Delta virus itu menjangkiti lebih 600,000 orang dan membunuh lebih 15,000 orang dalam masa hanya empat bulan. – AP

Petugas kesihatan menyuntik vaksin Moderna COVID-19 di lengan salah seorang penerima vaksin di Vung Tau, Vietnam, 13 Sept. Vietnam menyasarkan mempercepatkan program vaksinasinya dalam usaha melonggarkan sekatan di bandar-bandar utama, kata kerajaan. – AP