Vietnam rancang beri vaksin untuk remaja

HANOI, 27 OKT – Vietnam hari ini memulakan pemberian vaksin ke atas kanak-kanak sebagai sebahagian daripada usaha negara tersebut untuk membuka semula sekolah selepas lebih setahun setengah ditutup kerana COVID-19.

Kira-kira 1,500 remaja antara 16 dan 17 tahun di bandar Ho Chi Minh di bahagian selatan Vietnam antara yang terawal untuk menerima suntikan sebelum program inokulasi di seluruh negara pada November, menurut kementerian kesihatan dalam laman sesawangnya.

Semasa fasa pertama, Vietnam hanya meluluskan vaksin Pfizer ke atas kanak-kanak. Ibu bapa atau penjaga mesti menandatangani borang kebenaran untuk anak-anak mereka diberikan vaksin, menurut laporan.

“Keselamatan vaksinasi terhadap kanak-kanak adalah keutamaan kami,” kata Menteri Kesihatan, Nguyen Thanh Long semasa pertemuan semalam menjelang pelancaran program vaksinasi.

Minggu lalu, kementerian meluluskan vaksinasi untuk kanak-kanak antara 12 dan 17 tahun, dengan remaja yang lebih dewasa yang tinggal di kawasan bandar diberi keutamaan untuk menerima dos pertama. Dianggarkan 14 juta penduduk Vietnam tergolong dalam kategori tersebut.

Menurut laporan, kanak-kanak akan diberikan vaksin di sekolah masing-masing dan mereka yang tidak bersekolah akan diberikan di hospital kanak-kanak.

Kira-kira 55 peratus warga Vietnam daripada 98 juta penduduknya sudah menerima vaksin COVID-19, namun hanya separuh daripada mereka telah mendapatkan suntikan lengkap dua dos. – AP

Petugas kesihatan memberikan suntikan kepada golongan remaja di bandar Ho Chi Minh sebagai sebahagian daripada usaha negara tersebut untuk membuka semula sekolah. – AFP