Vietnam rancang buka semula pulau peranginan

HANOI, 24 OKT – Vietnam merancang untuk membuka semula pulau peranginan Phu Quoc kepada pelancong yang sudah divaksin pada penghujung November, menurut pihak berkuasa, ketika negara itu dilihat cuba membuka semula industri pelancongannya selepas hampir dua tahun ditutup.

Phu Quoc, terletak kira-kira 10 kilometer dari Kemboja di teluk Thailand, terkenal dengan pantai dan gunung-gunung serta hutan tebal.

Kawasan tersebut telah menarik sekitar 670,000 pengunjung dan meraih lebih AS$18 bilion daripada pelancong antarabangsa pada 2019, dengan pihak berkuasa berharap untuk menjadikan tempat tersebut sebagai tarikan pelancong sama seperti Phuket di Thailand dan Bali di Indonesia.

Bermula 20 November, penerbangan bagi pelancong antarabangsa dengan pasport vaksin akan dialu-alukan ke pulau berkenaan, menurut pihak kerajaan lewat Jumaat.

Selepas itu, pada penghujung Disember dan akhir bulan Mac, pulau tersebut menyasarkan menerima 5,000 orang pelancong asing.

Para pelancong dimestikan untuk menunjukkan sijil vaksinasi bersama-sama keputusan ujian negatif COVID-19 sebelum dibenarkan masuk.

Menurut pihak berkuasa, mereka perlu datang dari negara ‘yang mempunyai rekod keselamatan pencegahan COVID-19 yang tinggi, seperti sebahagian negara Eropah, Timur Tengah, Timur Laut Asia, Asia Tenggara, Utara Amerika dan Australia’.

Sebelum ini rancangan untuk membuka semula Phu Quoc untuk pelancong antarabangsa pada Oktober namun dibatalkan disebabkan kadar vaksinasi yang rendah di kalangan penduduk.

Namun negara Asia Tenggara itu terdesak untuk menghidupkan kembali ekonominya selepas berbulan-bulan di bawah perintah berkurung disebabkan pandemik koronavirus.

Sempadan negara itu ditutup kepada pelancong antarabangsa sejak awal tahun lalu dan hampir tiada penerbangan komersial memasuki negara tersebut.

Vietnam melaporkan lebih 880,000 kes COVID-19 dan kira-kira 21,500 kematian.

Kurang 20 peratus daripada 100 juta penduduknya sudah mendapatkan vaksinasi lengkap. – AFP