Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Vietnam sambut kehadiran pelancong asing 15 Mac

    HANOI, 16 FEB – Vietnam akan membuka semula sempadannya kepada pelancong antarabangsa bermula 15 Mac selepas ditutup selama dua tahun ekoran pandemik, menurut kenyataan dikeluarkan kerajaan hari ini.

    Negara Asia Tenggara yang mempunyai 97 juta penduduk itu sebahagian besar menutup sempadannya pada Mac 2020 – langkah yang menjejaskan sektor pelancongannya yang bernilai AS$32 bilion setahun sebelum COVID-19 melanda.

    Pihak berkuasa berkata dalam kenyataan bahawa mereka akan mula mengeluarkan visa dan menerima kehadiran pelancong luar bermula pertengahan bulan hadapan.

    Pengumuman dibuat sehari selepas negara itu membatalkan semua sekatan ke atas penerbangan antarabangsa.

    Kerajaan secara perlahan-lahan mengurangkan sekatan pandemik dalam beberapa bulan kebelakangan, dengan pengunjung kembali semula pada November di bawah gelembung perjanjian untuk bermain golf di pusat peranginan.

    Gambar fail bertarikh 20 November 2021 menunjukkan pelancong dari Korea Selatan menerima kalungan bunga selepas mendarat di Vietnam. Vietnam akan membuka semula sempadannya kepada pelancong asing bermula 15 Mac nanti. – AFP

    Namun, pelancong dimestikan untuk mendapatkan vaksinasi lengkap dan menunjukkan keputusan ujian negatif sebelum berlepas dan sebaik tiba.

    Setiap pengembara juga mesti membeli liputan insurans perubatan COVID-19 bernilai AS$10,000, menurut kenyataan kerajaan.

    Ia masih tidak jelas sama ada mereka yang tiba di Vietnam mesti mematuhi peraturan kuarantin selama tiga hari di hotel atau di rumah.

    Pemilik hotel, Nguyen Dinh Toi berkata dia terpaksa menutup perniagaannya di Sapa, Ha Long Bay dan Hanoi serta memberhentikan 300 kakitangannya disebabkan pandemik dan sekatan sempadan.

    “Mereka terpaksa mencari pekerjaan lain kerana saya tidak mampu membayar mereka sejak September 2020,” dia memberitahu AFP.

    “Kami menanti-nantikan keputusan ini.”

    Dia menyeru pihak berkuasa untuk menyediakan garis panduan jelas prosedur pembukaan semula dan kebersihan.

    Vietnam mencatatkan lebih 20,000 kes harian baharu koronavirus dan merekodkan lebih 2.5 juta jangkitan dan hampir 40,000 kematian sejak penularan pandemik. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...