Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Vietnam sambut Tahun Kucing, bukan arnab

    HANOI, 19 JAN – Ketika China bersiap sedia untuk mengalu-alukan Tahun Arnab, Tahun Baharu Cina kelihatan agak berbeza di Vietnam, di mana Tahun Kucing bakal bermula.

    Di seluruh negara itu, jalan-jalan dihiasi dengan arca-arca kucing dan kedai-kedai dipenuhi dekorasi bertemakan kucing, hadiah-hadiah popular semasa Tahun Baharu Vietnam, dikenali sebagai Tet.

    Vietnam dan negara jiran China berkongsi 10 daripada 12 lambang kalender zodiak – tikus, harimau, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan khinzir.

    Namun rakyat Vietnam menghormati kucing berbanding arnab, dan kerbau daripada lembu jantan. Terdapat pelbagai teori yang menjelaskan kenapa Vietnam memilih kucing.

    Nguyen Hieu Tin, seorang pakar dalam budaya tradisi Vietnam, berkata bahawa jawapannya mungkin pada ladang padi yang dihargai oleh petani-petani.

    “Padi adalah bahagian penting pertanian Vietnam, namun dengan ancaman tikus di sawah, kucing (yang memburunya) adalah haiwan popular bagi rakyat Vietnam,” beliau memberitahu AFP.

    “Satu lagi penjelasan adalah rakyat Vietnam tidak mahu meraikan dua tahun itu dengan haiwan yang sama. Mereka melihat tikus dan arnab sebagai berkaitan rapat,” Tin berkata.

    Terdapat juga teori bahawa rakyat Vietnam membuat interpretasi me-reka sendiri untuk perkataan Cina bagi arnab, ‘mao’. Dalam bahasa Vietnam, ini berbunyi seperti ‘meo’, yang bermakna kucing.

    Tahun Kucing dipercayai membawa nasib baik dan kelancaran di Vietnam. – AFP

    Gambar yang diambil pada 16 Januari menunjukkan seorang wanita Vietnam membersihkan kawasan di depan arca kucing di sebuah gedung membeli-belah di Hanoi, menjelang Tahun Baharu Cina. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...