Vietnam tangguh Sukan SEA tahun depan

HANOI, 9 JUN – Vietnam merancang untuk menangguhkan Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) tahun ini, kata media kerajaan hari ini, ketika negara itu bergelut berdepan wabak COVID-19.

Sukan SEA akan diadakan di Hanoi dan 11 lokasi lain di antaranya di pusat gelombang COVID-19 bermula dari 21 November hingga 2 Disember.

Tetapi Vietnam dilaporkan mahu menangguhkan Sukan SEA ke-31 ke tahun depan.

“Jawatankuasa Olimpik Vietnam, tuan rumah Sukan SEA ke-31, telah mengutuskan surat kepada negara-negara yang terlibat bagi memaklumkan kepada mereka mengenai cadangannya untuk menangguhkan Sukan SEA ke-31 hingga Julai 2022 kerana situasi rumit wabak COVID-19,” menurut Phap Luat Online.

Majlis Sukan SEA, yang berpusat di Bangkok akan bersidang hari ini untuk membuat keputusan, tambahnya.

Beberapa penunggang motosikal kelihatan di Hanoi, Vietnam. Vietnam merancang untuk menangguhkan Sukan SEA ke tahun selepas bergelut menangani wabak COVID-19 yang semakin meningkat. – AP

Jawatankuasa Olimpik Vietnam mengesahkan kepada AFP bahawa pertemuan akan berlangsung pada hari Rabu.

Kes virus telah meningkat tiga kali ganda di Vietnam sejak April lalu kepada lebih dari 9,000. Walaupun jumlahnya rendah jika dibandingkan dengan kebanyakan negara jirannya di Asia Tenggara, kadar vaksinasi per kapita Vietnam adalah yang terendah di rantau itu dan antara yang terendah di Asia, menurut laporan AFP.

Acara Sukan SEA akan berlangsung di beberapa wilayah yang paling teruk terjejas termasuk Bac Ninh dan Bac Giang, di timur laut negara itu.

Sebuah tempat perlawanan badminton di Bac Giang telah dijadikan hospital lapangan.

Vietnam sebelum ini pernag menjadi tuan rumah pertandingan tersebut pada tahun 2003. Ia telah memperuntukkan anggaran sekitar AS$69 juta untuk temasya tersebut.

Sukan SEA dijangka menarik hampir 20,000 peserta, termasuk sekitar 7,000 atlet dari 11 negara, menurut media negeri. – AFP