Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Vietnam tekankan kepentingan peralihan tenaga

    HANOI, 7 NOV – Vietnam meminta United Kingdom (UK), Kesatuan Eropah (EU) dan negara anggota Kumpulan Tujuh (G7) menyokong pemindahan teknologi berkaitan tenaga angin dan solar ke Vietnam bagi membantu negara anggota ASEAN itu melaksanakan peralihan tenaga dengan jayanya dalam memastikan penduduk dapat menikmati harga tenaga mampu milik.

    Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Vietnam, Tran Hong Ha mengetengahkan perkara itu pada sesi kerja pada Ahad bersama Presiden COP26 (Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-26), Alok Sharma yang mewakili UK, EU dan G7, di luar acara Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP27) ke-27 yang sedang berlangsung di Mesir.

    Pada mesyuarat itu beliau berkata peralihan tenaga merupakan faktor utama bagi Vietnam merealisasikan matlamatnya untuk menjadikan pelepasan sifar gas bersih menjelang 2050 yang diikrarkannya pada COP26 tahun lepas.

    “Pembangunan tenaga boleh baharu mesti selari dengan usaha memastikan jaminan tenaga,” katanya dipetik Agensi Berita Vietnam.

    Ha bagaimanapun berkata Vietnam masih menghadapi kesukaran memandangkan negara itu mempunyai banyak loji janakuasa arang batu yang sudah lama digunakan.

    Sementara itu, Alok Sharma menyambut baik komitmen padu Vietnam mengenai peralihan tenaga dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau apabila bersetuju untuk meneruskan rundingan bagi mencapai persetujuan secara harmoni bagi kepentingan kedua-dua pihak.

    Kedua-dua pihak juga saling bertukar pandangan mengenai usaha bagi meningkatkan persefahaman bersama serta akur bahawa kedua-duanya perlu mempunyai komitmen politik dalam melaksanakan peralihan tenaga.

    Delegasi Vietnam ke COP27 yang berlangsung sehingga 18 Nov, dijadual menghadiri sesi pembukaan dan sidang pleno serta sesi kerja dua hala dan pelbagai hala untuk mempromosi pelaksanaan komitmen mengenai perubahan iklim.

    Antara agenda COP27 tahun ini di Mesir yang bermula selepas setahun bencana alam dan krisis tenaga ialah menumpukan kepada komitmen negara perindustrian dalam menangani pemanasan global serta meminta negara kaya memenuhi ikrar mereka untuk membiayai negara membangun dalam isu iklim. – Bernama

    Tran Hong Ha berkata peralihan tenaga merupakan faktor utama bagi Vietnam merealisasikan matlamatnya untuk menjadikan pelepasan sifar gas bersih menjelang 2050. – ANN/The Star
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...