Villa mula langkah kanan

BIRMINGHAM, UNITED KINGDOM, 22 SEPT – Aston Villa memulakan kempen Liga Perdana Inggeris mereka dengan kemenangan 1-0 ke atas Sheffield United yang terpaksa beraksi 10 orang.

Ezri Konsa meledak gol tunggal permainan selepas Emiliano Martinez menyelamatkan sepakan penalti untuk tuan rumah.

United kehilangan seorang pemain apabila kaptennya John Egan dibuang padang kerana mengasari Ollie Watkins.

Penjaga gol Villa Martinez menyelamatkan sepakan penalti babak pertama John Lundstram yang membuat penampilan pertama selepas berpindah dari Arsenal minggu lalu.

Konsa memastikan tiga mata dengan tandukan di babak kedua, untuk permulaan sempurna buat skuad kendalian Dean Smith, yang menewaskan Burton Albion dalam pusingan kedua Piala Liga minggu lalu.

“Permulaan yang baik, mendapat tiga mata dan kemenangan bersih amat memuaskan hati.

“Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol dan sejak perintah berkurung, kami lebih agresif ketika bertahan. Ia permulaan baik buat Emi Martinez,” kata Smith.

Selepas tewas kepada Wolves di laman sendiri minggu lalu, United kendalian Chris Wilder kini tewas lima perlawanan terakhir liga sejak musim lalu. – AFP

Aksi Konsa ketika menjaringkan gol tunggal pasukannya semasa menentang Sheffield United di Stadium Villa Park, Birmingham, awal pagi tadi. – AP