Vinales mohon maaf kepada Yamaha

SPIELBERG BEI KNITTELFELD, 15 OGOS – Penunggang Sepanyol, Maverick Vinales (gambar) memohon maaf kelmarin selepas digantungkan daripada Grand Prix Austria pada hujung minggu oleh Yamaha kerana disyaki cuba untuk merosakkan motosikalnya di GP Styrian minggu lalu.

Vinales melengah-lengahkan ketika perlumbaan Ahad lalu disambung semula selepas insiden kemalangan dan dia berada di ke kedudukan terakhir setelah membuat hentian pada pusingan terakhir.

Yamaha berkata pada Khamis bahawa mereka telah menggantungkan penunggang tersebut kerana cara dia mengendalikan motosikalnya pada perlumbaan sebelum ini.

“Pada akhirnya semua mengenai kekecewaan, ramai yang gelisah,” kata Vinales memberitahu laman web rasmi MotoGP, kelmarin.

“Saya menunggang motosikal dengan gaya berbeza pada pusingan terakhir. Ia menyebabkan ramai yang emosi dan kecewa.

“Saya ingin memohon maaf kepada Yamaha,” kata penunggang tersebut di Litar Red Bull di Spielberg, litar perlumbaan minggu lalu dan minggu ini.

“Saya merasa sedih,” kata penunggang berusia 26 tahun. “Saya mempunyai jiwa seorang pejuang. Saya mahu berada di atas litar untuk bersaing.

“Saya masih lagi penunggang Yamaha dan saya menghormati keputusan mereka,” tambahnya.

Vinales dan Yamaha mengumumkan pada penghujung Jun bahawa mereka akan menamatkan kontrak setahun lebih awal iaitu pada penghujung 2021.

Vinales dijangka akan menyertai Aprilia pada 2022. – AFP