Vinicius selamatkan Real dari dimalukan

MADRID, 23 OGOS – Gareth Bale menjaringkan gol pertamanya di La Liga sejak 2019 tetapi memerlukan dua gol dari Vinicius (gambar) untuk memastikan Real Madrid mendapatkan keputusan seri 3-3 di Levante, semalam.

Keputusan itu membolehkan juara bertahan, Atletico Madrid yang menewaskan Elche 1-0 pada perlawanan terdahulu, menduduki tangga teratas La Liga.

Pada lewat semalam di Valencia, Bale meletakkan Real Madrid di depan selepas hanya lima minit permainan. Karim Benzema melakukan percubaan tetapi bola disekat takungan air di padang dan Bale mengambil kesempatan itu untuk menjaringkan gol.

Ia adalah gol pertama bintang Wales itu di La Liga sejak menjaringkan gol kedua ketika seri 2-2 dengan Villarreal pada September 2019, perlawanan yang menyaksikannya dilayangkan kad merah.

Real mendominasi perlawanan separuh masa pertama tetapi tidak dapat menambah gol kedua. Sebaliknya, Levante menyamakan kedudukan ketika permainan baru memasuki 28 saat di separuh masa kedua menerusi Roger Marti sebelum Levante mendahului pada minit ke-57 selepas Jose Campana menyumbang gol kedua.

Pengurus Real, Carlo Ancelotti kemudian mengeluarkan Bale, Isco dan Eden Hazard.

Vinicius yang masuk sebagai pemain gantian menyamakan kedudukan minit ke-73 tetapi Levante kembali di depan minit ke-79 menerusi gol jarak dekat Rober Pier.

Ketika permainan berbaki lima minit, Vinicius berjaya menyamakan kedudukan. – AFP