Virgin Australia dijual, kurangkan 3,000 pekerja

WELLINGTON, NEW ZEALAND, 4 SEPT – Pemiutang Virgin Australia bersetuju hari ini untuk menjual syarikat penerbangan itu kepada Bain Capital di Boston dalam satu perjanjian yang akan melihat syarikat itu mengurangkan 3,000 pekerjaan dan menamatkan kebanyakan penerbangan antarabangsanya.

Ditubuhkan bersama oleh ahli perniagaan Britain Richard Branson, syarikat penerbangan itu pada April menjadi syarikat terbesar di dunia berusaha mendapatkan perlindungan kemuflisan selepas pandemik koronavirus meng-hentikan sebahagian besar industri penerbangan. Ia merancang muncul semula dengan tambang murah sebagai syarikat yang berasaskan nilai.

Sebuah lagi syarikat penerbangan yang ditubuhkan oleh Branson, Virgin Atlantic, pada bulan lalu memfailkan perlindungan di mahkamah kemuflisan AS sebagai sebahagian daripada proses di United Kingdom untuk melaksanakan pelan penyusunan semula.

Virgin Australia berkata perjanjian dengan Bain, bernilai 3.5 bilion dolar Australia, akan melihat pemiutang dibayar di antara sembilan dan 13 sen setiap dolar yang dituntut mereka. Pemiutang Virgin mempunyai hutang sejumlah AU$7 bilion. Disebabkan pandemik, mesyuarat pemiutang diadakan secara dalam talian. Pentadbir pada Jun menandatangani perjanjian dengan Bain Capital, syarikat yang ditubuhkan oleh bekas calon presiden Republikan Senator Mitt Romney. – AP

Gambar fail menunjukkan Richard Branson, presiden Virgin Atlantic, semasa menghadiri sidang media di Miami Beach, Florida. – AP