SYDNEY, 30 April – Virgin Australia hari ini mengatakan ia telah menangguhkan penghantaran tempahannya bagi 48 buah pesawat udara Boeing 737 MAX disebabkan kebimbangan keselamatan, ekoran dua nahas yang membawa maut.
Di seluruh dunia 737 MAX tidak dibenarkan terbang sejak pertengahan Mac ekoran nahas penerbangan Ethiopian Airlines dan sebelumnya nahas Lion Air di Indonesia yang mengorbankan sejumlah 346 orang penumpang dan kru.
Virgin Australia berkata dalam satu kenyataan bahawa ia menunda penghantaran kumpulan pertamanya dari November 2019 hingga Julai 2021.
Ketua Eksekutif Virgin Paul Scurrah berkata “Keselamatan sentiasa keutamaan nombor satu bagi Virgin Australia. Seperti yang telah kami nyatakan sebelumnya, kami tidak akan memperkenalkan mana-mana pesawat baharu ke armada melainkan kami sepenuhnya berpuas hati dengan keselamatannya.”
“Kami yakin komitmen Boeing untuk mengembalikan 737 MAX kepada perkhidmatan dengan selamat dan selaku rakan jangka panjang Boeing, kami akan bekerjasama dengan mereka melalui proses ini.”
Virgin juga mengatakan ia mengalihkan beberapa tempahan 737 MAC 8s kepada Max 10s sementara mengekalkan jumlah pada 48 buah pesawat udara.
Pengumuman Virgin itu dibuat ketika eksekutif-eksekutif Boeing berdepan dengan beberapa cabaran stakeholder semalam pada mesyuarat agung tahunannya, dengan krisis itu yang menimbulkan persoalan sama ada syarikat gergasi aeroangkasa itu mengutamakan keuntungan dari keselamatan untuk memasarkan pesawat udara baharu itu. Firma Amerika Syarikat itu berkata kedua-dua nahas membabitkan maklumat salah disebabkan sistem anti tegun. – AFP