Virgin berdepan kebankrapan akibat koronavirus

CANBERRA, AUSTRALIA, 21 APRIL – Virgin Australia, syarikat penerbangan kedua terbesar di negara itu kini berdepan dengan krisis kebankrapan akibat koronavirus yang telah menjejaskan syarikat penerbangan itu sehingga mereka terpaksa memohon perlindungan kemuflisan dengan pentadbiran baharu.

Menurut Virgin dalam satu kenyataan kepada Bursa Saham Australia, ia telah melantik pasukan pentadbir Deloitte untuk membuat permodalan semula perniagaan dan membantu memastikannya tetap kekal dalam kedudukan kewangan yang lebih kukuh ketika berdepan dengan krisis COVID-19.

Virgin adalah salah sebuah syarikat penerbangan utama pertama yang meminta perlindungan kebankrapan kerana terjejas akibat COVID-19. Pentadbir Virgin telah mengawal syarikat dan akan berusaha mencari jalan untuk menyelamatkan syarikat atau perniagaannya.

Langkah itu dilakukan setelah pemerintah Australia menolak permintaan Virgin untuk pinjaman 1.4 bilion dolar Australia (AS$888 juta).

Saingannya Qantas Airways berpendapat bahawa ia mempunyai pendapatan tiga kali lebih banyak daripada Virgin dan oleh itu berhak mendapat pinjaman AU$ 4.2 bilion (AS$2.7 bilion) sekiranya syarikat penerbangan yang lebih kecil tidak memperoleh keuntungan yang tidak seimbang. Pentadbir Vaughan Strawbridge mengatakan dalam pernyataan itu: “Tujuan kami adalah untuk melakukan proses bagi penyusunan semula dan memperbaiki perniagaan sekali gus menangani krisis ini dengan secepat mungkin.”

Virgin akan terus mengendalikan penerbangan antarabangsa dan domestik yang dijadualkan, yang kebanyakannya telah dibatalkan kerana wabak tersebut. – AP

Kaunter daftar masuk Virgin Australia kelihatan lengang di ruang pelepasan di Lapangan Terbang Adelaide di Adelaide, kelmarin. – AFP