Virus Ensefalitis dalam laici punca kematian

PATNA, 12 JUN – Sekurang-kurangnya 31 kanak-kanak maut di utara India sejak 10 hari lalu akibat jangkitan otak dipercayai ada kaitan dengan sebatian toksik ditemui dalam buah laici, kata pihak berkuasa kesihatan negara itu hari ini.

Kematian itu dilaporkan oleh dua hospital di daerah Muzaffarpur, Bihar, terkenal dengan dusun laici yang subur, kata pihak berkuasa. Kesemua kanak-kanak itu menunjukkan gejala Sindrom Ensefalitis Akut (AES), kata pegawai kanan kesihatan, Ashok Kumar Singh, menambah majoriti mengalami kehilangan glukos dalam darah secara tiba-tiba.

“Jabatan kesihatan sudah mengeluarkan nasihat kepada orang ramai supaya menjaga anak mereka ketika musim panas apabila suhu mencapai 40 darjah Celsius,” kata Singh. Sekurang-kurangnya 40 kanak-kanak lain yang mengadu gejala sama kini sedang dirawat di unit rawatan rapi hospital terbabit. “Kami cuba menyelamatkan mereka,” kata ketua pegawai perubatan Hospital dan Kolej Perubatan Sri Krishna, S P Singh.

Wabak penyakit itu berlaku setiap tahun ketika musim panas di Muzaffarpur dan daerah bersebelahan sejak 1995, biasanya dikaitkan dengan musim laici.

Dikenali di kalangan penduduk tempatan sebagai Chamki Bukhar, penyakit itu meragut 150 nyawa sejak 2014. – AFP

Kanak-kanak India menerima rawatan perubatan selepas menghidapi AES. Sekurang-kurangnya 14 kanak-kanak maut akibat AES, manakala lebih kurang sedozen dimasukkan ke hospital. – AFP