Kebanyakan konsert dan pertunjukan pada masa ini dibatalkan, bukan hanya di China tetapi di sebilangan besar Asia, sebagaimana wabak virus yang telah membunuh lebih 400 orang dan mencecah lebih daripada 20 buah negara yang menggegarkan industri hiburan.
Pertunjukan telah ditangguhkan di Korea Selatan, Singapura, Hong Kong dan Macau atas kebimbangan terhadap orang ramai berkemungkinan dijangkiti oleh virus yang pertama kali muncul di pusat bandar Wuhan China.
Orkestra Simfoni Boston telah menarik semula persembahan jelajah Asia mereka, dan Hong Kong Philharmonic membatalkan lima konsert. Artis veteran Cantopop, Andy Lau juga membatalkan konsert yang sudah lama dinantikan di Hong Kong, atas sebab penganjur mengatakan kepentingan untuk melindungi kesihatan dan keselamatan penonton. Pada bulan April mendatang, terdapat satu konsert Lau di Wuhan, akan tetapi statusnya masih belum diketahui sama ada Lau akan meneruskan atau tidak konsert tersebut.
Penyanyi terkenal Hong Kong, Leon Lai dan Miriam Yeung juga turut menunda konsert mereka di Macau dan Singapura. Manakala, penyanyi Taiwan, Jolin Tsai menangguhkan persembahannya di China, yang dinyatakan melalui akaun rasminya di Weibo.
Agensi-agensi Korea Selatan juga telah membatalkan acara-acara K-pop di dalam mahupun di luar negara sebagai tindak balas kepada permintaan peminat mengenai keselamatan artis. – AP





























