Virus henti pembangunan semula Anfield

LONDON, 28 APRIL – Liverpool telah menghentikan rancangan mereka untuk mengubah suai tempat duduk di Anfield selama setahun dalam respon kepada krisis koronavirus.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris berkata kelmarin bahawa pandemik telah membuatkan mereka menghentikan kerja-kerja tempat duduk Anfield Road yang akan menambah kapasitinya kepada 61,000 buah tempat duduk.

Liverpool berharap kerja-kerja tersebut akan berakhir pada tahun 2022 tetapi projek tersebut tidak akan disiapkan sehingga seawal-awalnya pada 2023.

“Kami pernah mengalami beberapa kali penangguhan kepada rancangan projek disebabkan oleh perintah berkurung COVID-19,” ketua pegawai operasi Liverpool, Andy Hughes berkata dalam laman web kelab.

“Disebabkan beberapa cabaran banyak sektor berdepan kesukaran ketika ini, termasuk pembangunan, perolehan dan sektor awam, kami akan mengambil langkah bertanggungjawab untuk menghentikan projek sekurang-kurangnya 12 bulan.

“Program pembinaan kompleks untuk Anfield Road adalah proses selama 18 bulan dan memerlukan penutupan sebanyak dua musim panas untuk menyiapkannya.

“Oleh sebab itu kami menghentikan projek ini untuk sekurang-kurangnya 12 bulan dan paling awal kami boleh menyiapkan program ini adalah pada musim panas tahun 2023 daripada musim panas 2022 seperti yang dirancang sebelumnya. Liverpool memerlukan hanya dua kemenangan untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris dalam tempoh 30 tahun. Tetapi pandemik koronavirus telah menyebabkan musim ini digantungkan sejak 13 Mac dengan tiada sebarang kepastian sama ada ia akan disambung dan jika kesemua 92 baki perlawanan boleh dilangsungkan jika kempen ini disambung semula. – AFP

Liverpool telah menghentikan rancangan mereka untuk mengubah suai semula tempat duduk di Anfield selama setahun dan bakal disiapkan seawal-awalnya pada 2023 daripada musim panas 2022 seperti yang dirancang sebelumnya. – Agensi