Virus jejas KDNK ekonomi G20 – OECD

PARIS, 11 JUN – Langkah-langkah untuk mengurangkan wabak koronavirus telah menyebabkan kejatuhan 3.4 peratus dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi ekonomi besar Kumpulan 20 (G20) dalam tiga bulan pertama 2020, kemelesetan terbesar yang pernah dicatat sejak 1998, menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), hari ini.

Kemelesetan teruk datangnya dari China, dengan ekonominya mengecut 9.8 peratus dari suku keempat 2019, dan di Perancis dan Itali, masing-masing menurun 5.3 peratus, menurut OECD.

Ia adalah antara negara pertama yang mengenakan lockdown drastik berkaitan virus.

“Secara perbandingan KDNK jatuh hanya 1.5 peratus pada suku pertama 2009, semasa kemuncak krisis kewangan,” menurut OECD.

Agensi berpangkalan di Paris itu sudah pun memberi amaran kelmarin yang ekonomi global menguncup sekurang-kurangnya 6 peratus tahun ini berikutan penutupan perniagaan dan arahan duduk di rumah bagi mengekang pandemik COVID-19.

Mengambil kira kemungkinan berlaku kes gelombang kedua pandemik virus terbabit lewat tahun ini, sumbangan ekonomi diramal susut sehingga 7.6 peratus, menurutnya sambil memberi amaran bagi kedua-dua senario ini, proses pemulihan dijangka ‘perlahan dan tidak menentu’.

Dalam laporan hari ini, OECD berkata data sementara menunjukkan kemerosotan KDNK 2.2 peratus di Jerman, 2.1 peratus di Kanada dan dua peratus di Britain.

Output mengecut 1.5 peratus di Brazil, 1.3 peratus di Amerika Syarikat dan Korea Selatan, serta 1.2 peratus di Mexico.

Pengecutan kurang dihadapi di Indonesia dengan jatuh 0.7 peratus, Jepun turun 0.6 peratus dan Australia 0.3 peratus rendah, menurut laporan itu. – AFP

Gambar yang diambil pada 10 Jun menunjukkan orang ramai mengunjungi pasar terbuka di Wuhan, wilayah Hubei tengah China. Menurut OECD, wabak COVID-19 telah menyebabkan kejatuhan teruk KDNK bagi G20 dengan ekonomi China mengecut 9.8 peratus. – AFP