BEIJING, 10 OGOS – Saintis-saintis telah mengesan virus baharu yang dikatakan berasal dari haiwan di timur China yang telah menjangkiti puluhan orang, lapor BBC News.
Henipavirus yang turut dikenali sebagai Langya henipavirus atau LayV telah menjangkiti 35 individu di wilayah Shandong dan Henan yang mempunyai simptom seperti demam, lesu dan batuk.
Penyelidik banyak mengesan virus itu dalam tikus cencurut atau kesturi.
Difahamkan, pesakit yang dijangkiti mempunyai sejarah terdedah kepada haiwan tersebut dalam tempoh terdekat.
Namun setakat ini, belum ada bukti LayV boleh menular dalam kalangan manusia.
Penemuan itu didedahkan oleh penyelidik dari China, Singapura dan Australia yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine.
Menurut laporan The Guardian, Langya kali pertama dikesan pada akhir tahun 2018, namun dikenal pasti secara rasmi oleh saintis hanya pada minggu lalu.
Virus itu ditemui selepas ujian calitan di kerongkong yang dilaksanakan ke atas pesakit, dengan kebanyakan-nya adalah kumpulan petani.
Virus itu disahkan baharu, bermakna ia tidak menjangkiti manusia sebelum ini.
Bagaimanapun, lapor The Sun, dua virus daripada keluarga yang sama dikenal pasti sebelum ini iaitu virus Hendra dan virus Nipah.
Kedua-duanya boleh menyebabkan penyakit yang teruk dan kadang-kala membawa maut, malah tiada vaksin atau rawatan sebagai langkah pembendungan.
Menurut laporan The Global Times, kajian menunjukkan 26 daripada 35 kes jangkitan Langya di wilayah Shandong dan Henan mengalami gejala klinikal seperti demam, kerengsaan, batuk, anoreksia, mialgia, loya, sakit kepala dan muntah.
Seorang pakar dari Program Penyakit Berjangkit di Sekolah Perubatan Duke-NUS di Singapura yang terbabit dalam kajian itu, Profesor Wang Linfa, berkata setakat ini, kes membabitkan virus berkenaan tidak membawa maut atau terlalu serius, justeru tidak perlu panik mengenainya.
Beliau berkata, orang ramai disaran mengambil langkah waspada kerana banyak virus yang wujud di alam semula jadi tidak dapat diramal apabila ia menjangkiti manusia. – Agensi