Virus menular sesama manusia, mangsa ke-6 maut

BEIJING, 21 JAN – China telah mengesahkan wabak yang menyerupai virus Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS) boleh berjangkit sesama manusia selepas bilangan kes itu melonjak dan pihak berkuasa menyatakan bahawa individu keenam yang menghidap penyakit itu telah meninggal dunia dan bilangan mangsa kini hampir 300 orang.

Berita itu muncul ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata ia akan mempertimbangkan untuk mengumumkan perintah darurat kesihatan awam antarabangsa terhadap wabak tersebut.

Koronavirus, yang telah merebak ke tiga negara Asia yang lain dan menjangkiti lebih daripada 200 orang di China, telah mencetuskan kebimbangan dan amaran selepas wabak itu dipercayai mempunyai persamaan dengan sindrom SARS yang telah membunuh hampir 650 orang di tanah besar China dan Hong Kong pada tahun 2002 hingga 2003.

Penemuan wabak itu boleh berjangkit melalui manusia ke manusia muncul selepas beratus-ratus juta orang melakukan perjalanan di seluruh China menggunakan bas, kereta api dan kapal terbang minggu ini untuk merayakan Tahun Baharu Cina.

Langkah-langkah pemeriksaan juga dipertingkatkan termasuk pemeriksaan kesihatan yang telah dijalankan di lapangan terbang di Australia, Bangladesh, Hong Kong, Nepal, Singapura, Thailand, Taiwan dan Amerika Syarikat, dengan perhatian khusus mengenai kemunculannya dari pusat bandar Wuhan, tempat bermulanya wabak berkenaan.

Kakitangan perubatan ketika berada di luar pusat perubatan Wuhan, tempat pesakit yang menghidap virus berkenaan dirawat. China mengesahkan wabak yang menyerupai virus SARS itu boleh berjangkit sesama manusia, di mana mangsa ke-6 yang menghidap penyakit itu telah meninggal dunia. – AP

Pihak berkuasa kesihatan di sana, di mana pasar makanan laut telah dikenalpasti sebagai pusat wabak itu, hari ini mengatakan seorang lelaki berusia 89 tahun meninggal dunia akibat virus itu dan 15 kakitangan perubatan telah dijangkiti virus berkenaan.

Kes kedua juga disahkan di Shanghai hari ini, sementara lima orang telah didiagnosis dengan penyakit itu di Beijing.

Virus itu juga telah melangkaui ke Jepun, Thailand dan Korea Selatan, dengan empat orang dimasukkan ke hospital selepas mengunjungi Wuhan.

Sementara itu di Australia, seorang lelaki yang sebelum ini telah melakukan perjalanan ke bandar China hari ini telah diasingkan dan pegawai kesihatan masih menunggu keputusan ujian, kata pihak berkuasa hari ini.

Dia dikesan menunjukkan simptom seperti wabak koronavirus yang dikaitkan dengan SARS.

ABC melaporkan bahawa lelaki itu menjadi individu pertama yang disyaki dijangkiti virus baharu itu di negara berkenaan. Dia kini dalam proses pemulihan selepas mengalami masalah pernafasan.– AFP