NEW DELHI, 5 SEPT – Seorang budak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia akibat virus Nipah di negeri Kerala selatan India hari ini, pegawai kementerian kesihatan persekutuan mengesahkan perkara tersebut.
Sebelumnya, virus Nipah telah melanda dua daerah negeri tersebut – Kozhikode dan Malappuram pada Mei-Jun 2018, membawa kepada lebih 15 kematian.
“Kes virus Nipah disyaki itu adalah seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang mengalami keradangan otak dan miokarditis telah dilaporkan pada 3 September dari daerah Kozhikode, Kerala,” menurut kenyataan kementerian kesihatan persekutuan, menambah bahawa virus itu merebak menerusi air liur daripada keluang.
Budak itu dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia pagi ini, kata kementerian kesihatan.
Susulan kematian akibat virus Nipah itu, kerajaan persekutuan mengerahkan sepasukan Kawalan Penyakit Pusat Kebangsaan (NCDC) ke negeri itu.
Pasukan itu akan memberikan bantuan teknikal kepada pihak berkuasa kesihatan negeri, kata kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh kementerian berkenaan hari ini.
Negeri Kerala yang sudah pun bergelut dengan pandemik COVID-19, melaporkan sekitar 70 peratus jumlah kes daripada jangkitan seluruh negara itu.
Hari ini, sekitar 29,682 kes baharu COVID-19 dan 142 kematian sahaja yang dilaporkan dari negeri selatan itu. – Xinhua