NEW DELHI, 24 Mei – India berkata ia telah mengawal virus berjangkit Nipah, yang setakat ini telah mengorbankan sekitar 11 orang di negeri Selatan India, Kerala.
“Ia adalah jangkitan terhad dan kami telah berjaya mengawalnya dengan baik,” kata Setiausaha Kesihatan India, Preeti Sudan kepada media lewat kelmarin.
Selain daripada 11 kematian di daerah-daerah Kerala seperti Kozhikode dan Mallapuram, lebih 90 orang telah dikuarantin di dalam rumah masing-masing, sementara sembilan orang lagi berada di bawah pengawasan ketat di beberapa buah hospital.
Para pegawai kesihatan telah mengenal pasti sebuah perigi yang dicemari oleh kelawar di sebuah rumah di Daerah Kozhikode sebagai kemungkinan punca meletusnya rebakan virus Nipah di negeri itu.
“Beberapa ekor kelawar ditangkap pengawasan dan dihantar ke makmal untuk dijalankan ujian. Perigi itu pula telah ditutup. Kami menjangka kelawar-kelawar itu adalah punca bermulanya rebakan ini,” tambah pegawai itu lagi.

“Empat ahli keluarga yang terkorban kemungkinan besar terjangkit pada virus itu selepas meminum air dari perigi rumah mereka,” jelasnya.
Ini adalah kali ketiga virus Nipah merebak di India.
Dua kejadian virus itu sebelum ini dilaporkan pada tahun 2001 dan 2007, di negeri timur West Bengal, yang berkongsi sempadan dengan Bangladesh, mengorbankan 50 nyawa.
Virus Nipah adalah penyakit berjangkit, mula muncul di sebuah kampung di Malaysia pada tahun 1999 dan dinamakan sempena nama kampung itu. Ia telah menjejaskan haiwan-haiwan ternakan sebelum menjangkiti manusia.
Para pakar kesihatan berkata masih belum ada penawar bagi virus itu, yang mana gejala awal seperti demam dan sukar bernafas pada orang yang dijangkiti serta hanya penjagaan intensif sahaja dapat diberikan. – Xinhua